Tuesday 25 August 2015

KanWork Charity Hi Tea

Bandar Seri Putra, 23 Ogos 2015 (Ahad), PERSATUAN KanWork.Tanggal 23 Ogos 2015, Persatuan Kanser Network Selangor Wilayah Persekutuan (KanWork) telah menganjurkan satu Majlis Jamuan Teh Amal KanWork (KanWork Charity Hi Tea). Majlis ini  telah  berlangsung dengan meriahnya bertempat di Pusat Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Bandar Seri Putra. Majlis pada petang itu telah diserikan dengan kehadiran seramai 330 orang tetamu yang terdiri daripada para pesakit/survivor, sukarelawan, penjaga (carers) serta rakan-rakan kongsi KanWork. 

Majlis ini telah diadakan bertujuan untuk menjana dana bagi membantu KanWork merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat membantu para pesakit Kanser dan mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. Turut menghadiri majlis ini sebilangan besar rakan kongsi KanWork yang banyak menyokong merealisasikan aktiviti KanWork seperti PPUM, PPUKM, Hospital Putrajaya, LPPKN, Alumni UPM, Qariah Masjid Al Ehsan Bandar Kinrara, Masjid Abu Bakar As Siddiq Bangsar, Masjid Al Hidayah Taman Melawati, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Goulin Qigong Malaysia serta beberapa rakan kongsi daripada syarikat swasta /persendirian di samping ahli-ahli dan sukarelawan KanWork serta orang awam yang ingin mengenali KanWork. KanWork juga turut menerima banyak sumbangan secara individu daripada ahli mahupun orang awam yang sangat bermurah hati membantu KanWork. 

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Adifashla, DJ terkenal Radio Erra sebagai pengacara majlis. Selain itu, peserta turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian akustik daripada Amir dan Zarul, anak muda yang sangat berbakat dalam nyanyian serta persembahan deklamasi sajak oleh Pn Adibah yang merupakan seorang pemandiri (survivor) dan juga sebuah sajak bertajuk ‘Mengenangmu” daripada  Tn Hj BadrulHaisham yang telah kehilangan isteri tersayang akibat penyakit Kanser ini.  Selain itu, peserta juga turut berpeluang mengunjungi pelbagai booth jualan yang disediakan dan mengambil peluang untuk mendaftarkan diri sebagai ahli baru KanWork. Peserta juga turut membawa pulang hadiah cabutan bertuah bagi yang berjaya.

Para pesakit dan survivor serta ahli keluarga juga turut berpeluang untuk berkenalan dan saling beramah mesra serta berkongsi pengalaman suka dan duka dalam mengharungi cabaran berdepan dengan penyakit Kanser ini. . Sesungguhnya majlis ini telah dapat mencapai matlamatnya. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua para penyumbang sama ada sumbangan daripada syarikat mahupun sumbangan secara individu. Semoga Allah merahmati semua penyumbang KanWork. Juga tahniah kepada para barisan ahli jawatankuasa induk dan Biro  Dana KanWork yang telah berusaha gigih untuk menjayakan majlis ini. Semoga majlis seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa depan.